Artikel Terbaru

Tampilkan postingan dengan label Hari Guru. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Hari Guru. Tampilkan semua postingan

Selasa, 29 Mei 2012

Kesabaran kunci kejayaan Tokoh Guru 2012

SEREMBAN 27 Mei - Kesabaran dalam menghadapi cabaran adalah kunci kejayaan seseorang guru bagi menghadapi dunia pendidikan yang kini terus berubah dalam arus globalisasi ketika ini.
Malah pendidikan ketika ini menuntut kesungguhan dan pengorbanan guru dalam menguasai semua bidang meliputi teknologi dan maklumat bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan demi memastikan kecemerlangan anak bangsa tercapai.
Tokoh Guru Negeri Sembilan 2012, Datuk Azam Md. Atan berkata, cabaran guru ketika ini bertambah kritikal apatah lagi memerlukan warga pendidik menguasai bidang teknologi bagi mendidik anak murid mereka.
''Perkara yang paling asas untuk menjadi guru adalah bersabar apatah lagi cabaran ketika ini semakin bertambah dan murid sekarang ini memerlukan perhatian yang lebih bagi memastikan kejayaan mereka dapat dicapai.
''Malah mereka juga perlu memberikan perhatian dan tumpuan ketika mengajar kerana itulah prinsip yang perlu dipegang oleh warga pendidik sekiranya mereka mahu melihat anak-anak murid dan pelajar berjaya dalam bidang akademik mahupun kokurikulum," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Azam yang merupakan bekas Presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia dipilih sebagai Tokoh Guru 2012 dalam Majlis Sambutan Hari Guru 2012 yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini baru-baru ini.
Pemilihan beliau sebagai penerima anugerah itu membolehkan Azam, 59, menerima wang tunai RM3,500 dan plak cenderamata yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam pada itu, Muhd. Syahlyme Abd. Wahid, 31, pula menjelaskan, peranan guru kini jauh berbeza berbanding dahulu kerana para pelajar kini lebih terdedah dengan pelbagai maklumat menerusi pelbagai medium termasuklah internet.
Justeru kata penerima Anugerah Guru Inovatif Kategori Individu Sekolah Rendah itu, sudah tiba masanya untuk guru ketika ini mengusai bidang teknologi yang kini terus berkembang dalam memastikan mereka tidak terus ketinggalan.
''Kalau dulu guru hanya membawa sebatang kapur dan papan hitam untuk mengajar, kini mereka menggunakan komputer sebagai alat bantu pembelajaran dan dari situ kita telah nampak transformasi pendidikan negara telah berubah sama sekali.
''Biarpun kaedah kini telah berubah dengan pantas namun apa yang penting matlamat guru untuk menjadikan anak didik kita mencapai kecemerlangan dalam pendidikan tidak dikesampingkan," kata guru dari Sekolah Kebangsaan Yam Tuan Lenggang, Kuala Pilah itu.

Utusan Malaysia Online: 29 Mei 2012

Rabu, 23 Mei 2012

Guru berinovasi wajar diberi keutamaan

BIASANYA tokoh guru adalah mereka yang telah bersara. Selain sejarah perkhidmatan di sekolah sebagai guru, maka sebahagian besar biodatanya memaparkan pelbagai jawatan yang disandang sebagai pentadbir di sekolah, pejabat, jabatan atau Kementerian Pelajaran serta sumbangannya dalam pendidikan dan khidmat masyarakat.
Elok juga jika kriteria pemilihan tokoh guru menekankan nilai-nilai inovasi yang diamalkan semasa mereka menjadi guru dahulu. Namun anugerah khas kepada guru yang keunggulan mereka begitu terserlah sebagai guru berinovasi amat wajar diberi keutamaan, khususnya dalam majlis sambutan Hari Guru peringkat daerah.
Pengiktirafan ini bukan sahaja sebagai lambang penghargaan kepada kegigihan ribuan guru yang sedang mengajar di sekolah tetapi memberi penekanan bahawa tugas utama guru ialah mengajar di bilik darjah.
Dalam ucapan di majlis sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan pada 16 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperincikan ciri-ciri guru berinovasi.
Guru berinovasi tidak semestinya dapat menghasilkan pelajar yang meraih 10A dalam peperiksaan. Yang penting keberhasilan pengajaran mereka mendorong murid seronok dan minat belajar kerana mereka mudah memahami pelajaran. Pengurusan bilik darjah terkawal, murid menumpukan perhatian di kelas dan pencapaian murid semakin meningkat.
Guru sentiasa berusaha agar objektif pengajaran tercapai. Mereka berjaya menghasilkan murid yang berakhlak mulia, menguasai kemahiran berfikir dan memiliki daya saing yang tinggi.
Kita sering mendengar guru muda yang baru tamat latihan perguruan berinovasi tinggi dan begitu bersemangat mengajar. Perkara penting ialah bagaimana untuk mengekalkan semangat inovasi guru? Bagaimana jika tahap disiplin pelajar di sesebuah sekolah tidak terkawal, ibu bapa tidak memberi perhatian kepada pelajaran anak, pelajar bebas keluar rumah dan terlibat dengan pelbagai gejala negatif?
Keadaan ini bukan sahaja boleh menjejaskan hasil pengajaran bahkan mungkin tahap inovasi guru. Pentadbir sekolah juga perlu bijaksana mengurus sumber manusia agar wujud gaya kepimpinan yang mesra guru.
Kita boleh berkata guru berinovasi sepatutnya gigih menghadapi kerenah pelajar dalam melaksanakan tugas profesional dan tugas tambahan. Persoalannya adakah kita yakin guru yang sibuk dengan kerja pentadbiran dan perkeranian serta kerap bertugas di luar sekolah maka keberkesanan pengajarannya di bilik darjah tidak terjejas?
Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan sewajarnya agar wujud persekitaran sekolah yang dapat menyuburkan tahap inovasi guru.

Utusan Malaysia Online: 23 Mei 2012

Selasa, 22 Mei 2012

Guru jangan mudah merajuk - Tokoh Guru Terengganu

AHMAD Said menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Negeri 2012 kepada Mohd. Nor Othman (kiri) sambil diperhatikan oleh Zakaria Hussin (kanan) pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-41 Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 21 Mei - Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd. Nor Othman, 60, dipilih sebagai sebagai penerima anugerah Tokoh Guru Terengganu 2012 sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini hari ini.
Beliau yang bersama profesion perguruan selama 33 tahun itu menerima wang tunai RM5,000, senaskah al-Quran, satu set persalinan dan trofi yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 warga pendidik dan pelajar berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin.
Turut menerima anugerah ialah Azran Ibrahim (Guru Pendidikan Khas Cemerlang), Zainudin Mat Ali (Guru Kelainan Upaya Cemerlang), Nik Mohd. Azhani Nik Jusoh (Penderma Darah Berjasa) dan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu bagi kategori pengurusan PPD cemerlang.
Juga Masitah Mohamed (Guru Pra Sekolah Inovatif), Zalina Bidin (Guru Sekolah Rendah Inovatif) serta Mohd. Yusri Ibrahim, Nor khatimah Ismail dan Wan Mohd. Amir Fazamin Wan Hamzah (Guru Sekolah Menengah Inovatif) dan Kamarulzaman Ismail (Tokoh Nilam) .
Sementara itu, Mohd Nor ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut berkata, sebagai guru mereka harus kuatkan semangat ketika berdepan dengan kerenah para pelajar.
"Sebagai guru, kita jangan mudah sangat merajuk dengan anak murid dan pelajar-pelajar kita. Ini penting demi masa depan mereka," katanya.
Beliau yang berasal dari Kampung Buluh Kuala Berang dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia memulakan tugas sebagai pendidik pada tahun 1976 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai dekat sini.
Sepanjang tempoh menjadi pendidik, beliau yang juga penerima Anugerah Guru Khidmat Cemerlang Kebangsaan pada tahun 1996 pernah ditugaskan di beberapa buah sekolah antaranya di SMK Tengku Ampuan Intan, SMK Landas, SMK Menerong dan SMK Ajil.
''Sebagai guru, tiada yang lebih penting selain sikap dan komitmen guru yang bersungguh-sungguh dan ikhlas mahu melihat anak bangsanya berjaya,"
"Ramai yang dakwa, perkembangan teknologi maklumat pada masa kini menjadi cabaran utama guru hari ini kerana perlu melengkapkan diri dengan arus perubahan pendidikan misalnya penggunaan e-Book dan kelas maya.
"Namun bagi saya, cabaran lebih besar adalah sikap guru yang mudah terasa hati dengan pelajar-pelajar merupakan antara faktor proses pembelajaran itu terbantut," ujarnya yang juga bekas Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusian, Jabatan Pelajaran.
Katanya bermula dengan rasa hati yang gembira seorang guru untuk menyampaikan ilmu membolehkan pelajar-pelajar mendapat keberkatan daripada itu.
''Kalau ada sedikit perangai pelajar yang tidak disukai, pejam mata sahaja dan teruskan usaha menyampaikan ilmu itu," katanya.

Utusan Malaysia Online: 22 Mei 2012

Senin, 21 Mei 2012

Terima kasih Kuala Kangsar

Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pelajaran, Rosnani Mohamed Ali menyerahkan cakera padat (CD) rakaman ceramah agama Festival Hari Guru kepada Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim di Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.
FESTIVAL Hari Guru 2012 di padang Sekolah Menengah Clifford , Kuala Kangsar membuka mata kita tentang jenama Hari Guru yang begitu kuat dan meniti bibir masyarakat setempat - daripada pekerja am hotel, pengusaha gerai laksa Pak Yusuff, pemilik gerai sotong kangkung bersebelahan Arena Kuala Kangsar sehinggalah kepada mat motor dan peniaga batik di pekan kecil yang cantik molek itu.
Ada peniaga yang menambah jualan sepanjang tarikh festival kerana ramai orang luar bertandang ke Kuala Kangsar, tidak kira apa tujuan mereka sepanjang lima hari itu.
Bila tiba waktunya - 12 Mei hingga 16 Mei lalu - kita telah sama-sama menyaksikan di atas padang SMK Clifford, lautan warga Kuala Kangsar datang membawa keluarga.
Ada yang membawa tikar bersila di padang mendengar ceramah agama atau berhibur bersama artis jemputan.
Kepelbagaian jualan dan juadah mewarna-warnikan padang SMK Clifford, sekali gus menghidupkan pekan Kuala kangsar yang cukup bercahaya itu.
Sesungguhnya, hal ini bertepatan dengan tema Tahun Melawat Perak pada tahun 2012.
Sesungguhnya usaha penganjur untuk memasyarakatkan Hari Guru, menambah rezeki peniaga dan memperkasa jenama korporat telah berjaya di Kuala Kangsar.
Hujan pada sebelah malam, kadang kala renyai pada siang merupakan rahmat kerana sebelum ini cuaca dikatakan panas sepanjang minggu, menimbulkan kebimbangan akan mewujudkan suhu ketuhar di dalam khemah utama, selain ketidakselesaan di khemah Arabik di luar khemah pempamer yang menempatkan peniaga berkonsep gerai usahawan setempat.
Para usahawan sejauh Kelantan, Sungai Besar di Selangor berkampung di padang Kuala Kangsar untuk menjual produk masing-masing. Sudah tentulah adat berniaga ialah untung dan ruginya.
Bagi Kumpulan Utusan yang pada tahun ini menjadi penganjur buat kali keempat berturut-turut setelah mendapat mandat Kementerian Pelajaran Malaysia, cukup berasa bangga, dan dengan pengaruh yang ada, turut mengundang pihak korporat untuk bersama-sama meraikan guru.
Tidak mudah menganjurkan festival tahunan yang besar ini kerana ia melibatkan segenap lapisan peserta dengan 360 darjah keperluan tersendiri.
Berkat pengalaman empat penganjuran Festival Hari Guru sebelum ini, maka sebahagian besar dapat ditangani oleh sekretariat yang sentiasa bekerja keras.
Tahniah kepada penaja utama KPerak yang telah menunaikan tanggungjawab sosial mereka dengan ikhlas tanpa berbelah bahagi.
Sumbangan itu telah memeriahkan pelbagai akiviti sepanjang sambutan tersebut diadakan selain menggalakkan kreativiti pendidikan menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Selain gerai pameran dan jualan, festival dimeriahkan dengan kehadiran maskot Upin dan Ipin, persembahan kebudayaan oleh pelajar-pelajar Sekolah Seni Johor Bahru dan lukisan karikatur bersama pelukis akhbar Utusan Malaysia.
Malah, syarikat MBSB menyediakan pakej penghargaan kepada guru iaitu sebuah Toyota Prius bernilai RM130,000 serta pakej umrah bernilai RM30,000 di samping barangan berjenama Apple seperti iPhone 4S, iPad dan MacBook untuk dimenangi.
Penajaan turut diterima daripada MBSB, Celcom, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Bank Pembangunan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad.
Murid sekolah dan pengunjung tertarik melihat hasil inovasi guru yang dipamerkan di Festival Hari Guru 2012 di Kuala Kangsar, baru-baru ini.
Antara syarikat yang turut sama memeriahkan festival kali ini termasuk Proton, Bank Simpanan Nasional, Sasbadi, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. dan Suruhanjaya Sekuriti.
Institusi pengajian tinggi turut tidak ketinggalan menyertai festival ini termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) dan Kolej Antarabangsa Kirkby Cyberjaya.
Kepada Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya warga Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak, tahniah kepada semua sektor dan bahagian, khususnya beberapa orang kuatnya yang bekerja di belakang tabir, yang banyak memberi nasihat dan teguran bagi tujuan penambahbaikan.
Namun yang paling penting ialah warga Kuala Kangsar, khususnya pengetua SMK Clifford yang bersabar meminjamkan padang sekolah, anda memang pengetua terhebat!

Utusan Malaysia Online: 21 Mei 2012

INTI hantar mawar merah kepada 40,000 guru

SEMPENA Hari Guru, INTI International University dan juga kolej-kolejnya (INTI) menghantar sebanyak 40,000 kuntum mawar merah dan nota Terima Kasih kepada guru-guru sekolah menengah seluruh Malaysia sebagai tanda penghargaan terhadap segala sumbangan mereka.
Inisiatif tersebut dijayakan oleh INTI untuk menghargai para guru yang berdedikasi dalam mendidik serta memberi inspirasi kepada para pemimpin masa hadapan.
Ia merupakan kali pertama INTI menganjurkan acara sebegitu besar bagi tujuan meraikan sambutan Hari Guru.
Ramai guru yang terkejut dengan pemberian tersebut dan gembira kerana segala usaha serta dedikasi mereka mendapat pengiktirafan.
Selain itu, INTI turut menganjurkan konvensyen khas untuk guru di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
Konvensyen ini dianjurkan untuk para guru di seluruh Malaysia agar mereka dapat berkumpul dan menimba ilmu pengetahuan tentang kaedah-kaedah baru mengajar dan belajar.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 03- 56232800 atau layari laman rasmi www.newinti.edu.my.

Utusan Malaysia Online: 21 Mei 2012

Rabu, 16 Mei 2012

Guru berinovasi adalah guru berkualiti dalam era globalisasi - Muhyiddin

KUALA KANGSAR 16 Mei - Guru berinovasi merupakan guru yang berkualiti dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, guru berinovasi mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.
"Dalam konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru 2012 peringat kebangsaan bertemakan "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara" di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan.
Keutamaan guru berinovasi adalah memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata, katanya.
"Guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir," katanya.
Muhyiddin berkata, guru yang berupaya menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar juga merupakan guru berinovasi.
"Guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata," katanya.
Sekiranya semua guru di negara ini adalah guru inovasi, Muhyiddin yakin matlamat untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan berketrampilan akan tercapai.
Bagi memantapkan budaya inovasi di sekolah, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk menyemai budaya inovatif dan kreatif di kalangan murid, katanya.
Muhyiddin berkata, menerusi pelan ini, sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif.
"Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan kemampuan rakyat untuk berinovasi," katanya.
Kerjasama kementerian dengan Agensi Inovasi Malaysia untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program i-Think juga merupakan pendekatan baru yang sesuai digunakan oleh guru untuk meningkatkan pena"akulan di kalangan murid, katanya.
"Program ini telah dirintis di 10 buah sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran," katanya.
Pada sambutan itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Datuk Omar Mohd. Hashim serta Anugerah Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan kepada Datuk Hassan Harun.
Sementara itu, empat bekas pendidik pula menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2012 iaitu Datuk Ahmad Azmey Abu Talib, Datuk Mary Yap Kain Ching, Mohd Azman Abdul Rashid dan Lim Ia Lee @ Lim Irene. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2012

Selamat Hari Guru - Terima kasih cikgu

MARI kita hentikan sebentar isu Bersih 3.0 atau kemelut politik yang sedang rancak sekarang ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Jika saya bertanya kepada anda bolehkah namakan 10 orang guru yang pernah mengajar anda semasa belajar di peringkat pra sekolah hingga tamat sekolah menengah?
Sekiranya anda boleh memberikan nama penuh ke semua orang guru itu dan dapat membayangkan wajah mereka di minda maka anda dikira terdiri daripada kategori orang cemerlang.
Tetapi andai kata tidak seorangpun nama guru yang diingati dan tidak terbayang langsung wajah mereka maka anda bolehlah digolongkan dalam kumpulan lemah memori atau golongan kurang cerdik kerana tidak prihatin terhadap orang yang pernah mendidik dan tidak jemu-jemu menyampaikan ilmu pengetahuan.
Tidak dapat dinafikan bahawa gurulah di antara orang yang banyak berjasa kepada kita semua. Tanpa mereka mungkin hari ini kita tidak pandai membaca, menulis atau mengira. Kerana merekalah minda kita terbuka dan keluar dari kepompong dengan melihat jendela dunia dari sudut yang lebih luas.
Guru dapat membantu seseorang untuk berjaya dalam mengejar cita-cita. Guru berkesan kerap memberi bimbingan, mencabar keupayaan dan membakar semangat anak muridnya supaya berani mencuba dan tidak mudah berputus asa.
Menurut Wikipedia, �guru� daripada perkataan Sanskrit yang bermaksud orang yang mengajar sesuatu ilmu. Hari ini �guru� merujuk kepada pendidik profesional dengan tugas utama mendidik, mengajar, membimbing, mengarah, melatih dan menilai anak muridnya. Guru bertugas mulai peringkat awal kanak-kanak hingga ke peringkat menengah atas.
Mereka mempunyai kelulusan dan kelayakan tertentu serta mendapat latihan secara formal. Dalam melaksanakan tugas mengajar sama ada di sekolah kerajaan atau swasta mereka perlu patuh kepada garis panduan serta diikat dengan peraturan dan etika perguruan.
Bagi meningkatkan kualiti guru, Kementerian Pelajaran telah menyediakan Standard Guru Malaysia (SGM) merupakan panduan kompetensi profesional yang seharusnya dicapai oleh guru. Oleh itu, institusi dipertanggungjawabkan akan membantu guru bagi mencapai kemahiran yang telah ditetapkan. Dalam usaha menjadikan Malaysia negara maju melalui Wawasan 2020 guru berperanan melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif, berpengetahuan, mahir ICT, menguasai �soft skills� dan berdaya saing.
Untuk mencapai hasrat itu latihan guru dimantapkan, mengetatkan pemilihan bakal guru, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan guru, menambah baik laluan kerjaya dan menjaga kebajikan mereka.
Di negara kita bilangan guru di sekolah kerajaan mencecah 400,000 orang yang berkhidmat hampir di 10,000 buah sekolah. Golongan ini boleh dikatakan bernasib baik jika dibandingkan dengan rakan mereka yang berkhidmat di sekolah swasta atau sekolah agama rakyat.
Jika dibuat perbandingan mereka menerima gaji lebih tinggi, peluang kenaikkan pangkat lebih banyak, kemudahan rawatan di hospital, skim pinjaman perumahan dan kenderaan serta kemudahan persaraan. Satu lagi kelebihan yang tidak disedari ialah peluang bertugas di tempat pilihan sendiri. Ini disebabkan di negara kita terdapat institusi sekolah di seluruh pelosok tanah air dan mungkin ada di antaranya menjadi pilihan mereka.
Akibat perubahan zaman maka tugas guru masa kini adalah lebih mencabar jika dibandingkan dengan masa lampau. Peranan guru sebagai penyampai ilmu pengetahuan sebahagiannya telah diambil melalui kecanggihan ICT.
Maklumat boleh didapati dengan cepat dan lengkap melalui Internet serta bahan elektronik yang lain. Oleh itu, guru perlu bertindak bijak dengan mendahului murid dari segi penguasaan ilmu pengetahuan. Mereka perlu membuat persediaan awal dengan melakukan rujukan daripada berbagai sumber sebelum berhadapan murid di bilik darjah.
Demikian juga persepsi ibu bapa terhadap guru turut berubah. Jika masa dahulu ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah memberi kuasa penuh kepada guru mendidik anak mereka termasuk membenarkan denda secara fizikal sekiranya anak itu nakal atau tidak mematuhi arahan. Tetapi kini keadaannya berlainan. Guru tidak boleh mendenda murid secara fizikal. Di setengah sekolah guru dilarang memarahi atau mengeluarkan perkataan kasar walaupun murid melakukan kesalahan. Mereka digalakkan memberi nasihat atau bimbingan secara kaunseling.
Kerap kita mendengar ada ibu bapa yang mengambil tindakan undang-undang atau memberi amaran kepada guru yang menghukum anaknya. Lebih malang lagi ada murid yang mencalar kereta guru jika mereka tidak suka kepada seseorang guru. Ini adalah sebahagian dilema yang dihadapi oleh guru dalam menangani kerenah murid.
Selepas menamatkan latihan perguruan tidak semua guru dapat mengajar di sekolah yang menjadi pilihan mereka. Ada di kalangan mereka ditempatkan jauh di pedalaman atau di pulau-pulau terpencil. Cuba bayangkan jika kawasan tersebut tidak mempunyai kemudahan elektrik dan air sudah tentu ada di antara guru mengalami kejutan di tempat baru itu.
Dari segi tempat tinggal pula tidak semua sekolah menyediakan kemudahan rumah guru. Ada yang terpaksa tinggal di bilik kecil yang terdapat di bangunan sekolah. Ini disebabkan tidak terdapat rumah yang boleh disewa dan lokasi sekolah pula jauh dari kawasan perumahan. Sebagai penjawat jawatan awam mereka perlu akur dan patuh mengikut perintah walau di mana mereka ditempatkan.
Tidak dapat dinafikan cabaran yang paling besar dihadapi oleh guru ialah sikap negatif murid terhadap pengajaran guru. Tidak mudah untuk menarik perhatian murid jika mereka sendiri tidak berminat untuk belajar. Di samping itu guru perlu menyesuaikan kaedah pengajaran mereka mengikut tahap kebolehan murid.
Cuba bayangkan jika terdapat 40 murid dalam sebuah kelas guru terpaksa kerap menyesuaikan pendekatan pengajaran agar semua murid dapat menghayatinya. Sikap tidak minat belajar boleh membawa kepada ponteng kelas dan ponteng sekolah.
Akibatnya kemajuan pelajaran akan terganggu dan boleh menyebabkan gagal dalam peperiksaan. Bagi ibu bapa yang tidak memahami tingkah laku anak lantas menyalahkan guru atas kegagalan tersebut.
Untuk membantu tugas guru maka ibu bapa perlu turut berperanan mengikuti perkembangan pelajaran anak mereka. Bimbingan dan tindak ikut berterusan perlu dan tidak hanya menyerahkan tugas mendidik kepada guru. Ibu bapa juga disaran menganggap guru sebagai rakan. Hubungan secara bersemuka perlu kerap dilakukan terutama sekiranya terdapat sebarang perubahan pada diri anak. Rasa setiakawan dengan guru perlu sentiasa disematkan pada diri ibu bapa. Ambillah tindakan segera sekiranya dihubungi oleh guru.
Sempena Hari Guru yang dirayakan setiap 16 Mei anda dicadang mengirimkan sekeping kad ucap selamat kepada bekas guru yang pernah mengajar anda atau yang sedang mengajar anak anda. Atau setidak-tidaknya apabila bertemu mereka ucapkanlah �Selamat Hari Guru� dan �Terima Kasih Cikgu.�

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru
Malaysia Berhad

Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2012

Senin, 14 Mei 2012

Festival Hari Guru disambut meriah

ZAMBRY Abd. Kadir (enam dari kanan) dan Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (lima dari kanan) bersama pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang di Kuala Kangsar, semalam.
KUALA KANGSAR 13 Mei - Bahang sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan semakin dirasai apabila ribuan pengunjung menyerbu Festival Hari Guru 2012 yang berlangsung meriah di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, di sini hari ini.
Cuaca baik membolehkan pengunjung terdiri daripada segenap lapisan masyarakat termasuk para pelajar dan guru datang seawal pukul 9 pagi dengan membanjiri khemah serta padang sekolah berkenaan yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik.
Kemeriahan hari kedua festival tersebut semakin dirasai sebaik sahaja bermula acara perasmian di pentas utama yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sumber Manusia dan Sains negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Supaat Tumin; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.
Selain gerai pameran dan jualan, festival dimeriahkan dengan kehadiran maskot Upin dan Ipin, persembahan kebudayaan dan lukisan karikatur bersama pelukis akhbar Utusan Malaysia.
Turut menjadi tumpuan ialah kios syarikat Malaysian Building Society Bhd. (MBSB) yang menyediakan pakej penghargaan kepada guru iaitu sebuah Toyota Prius bernilai RM130,000 serta pakej umrah bernilai RM30,000 selain barangan berjenama Apple seperti iPhone 4S, iPad dan MacBook untuk dimenangi.
Orang ramai juga tidak melepaskan peluang merasai pengalaman menjadi wajah penghias kulit majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. dengan mengunjungi Studio Foto yang disediakan di gerai tersebut.
Kemunculan Upin dan Ipin yang dibawa khas sempena karnival tersebut ternyata mencuri tumpuan para pengunjung terutama kanak-kanak yang tidak melepaskan peluang mengambil gambar dengan dua watak animasi popular itu.
Festival dengan kerjasama Kementerian Pelajaran itu dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Terdapat lebih 100 pempamer daripada pelbagai syarikat dan badan-badan kerajaan mengambil bahagian pada festival selama lima hari ini, selain penglibatan sebanyak kira-kira 50 gerai peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) di luar khemah utama.
Festival yang diadakan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan itu menerima penajaan daripada KPerak, MBSB, Celcom, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Bank Pembangunan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad.
Antara syarikat yang turut sama memeriahkan festival kali ini termasuk Proton, Celcom, Bank Simpanan Nasional (BSN), Sasbadi, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. dan Suruhanjaya Sekuriti.

Utusan Malaysia Online: 14 Mei 2012