Artikel Terbaru

Tampilkan postingan dengan label disiplin pelajar. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label disiplin pelajar. Tampilkan semua postingan

Kamis, 26 Juli 2012

Patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?

"BAGI saya boleh � 'anytime' cikgu boleh merotan atas kesalahan yang difikirkan perlu, syarat merotan di bawah paras lutut dan kemudian harus dirotan di hadapan murid lain." Demikian pandangan seorang pembaca dalam ruangan 'facebook.com/utusan_online' yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kini cadangan guru dibenarkan merotan pelajar yang melanggar disiplin sekolah telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar.
Menurut mereka jika masalah disiplin tidak ditangani dengan betul ketika pelajar berada di bangku sekolah dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti.
Sesungguhnya amat merisaukan apabila melihat angka statistik dan pemaparan melalui media massa gejala sosial di kalangan remaja. Misalnya isu 'mat rempit,' apa yang mereka lakukan bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menjejaskan keselamatan orang lain. Lebih membimbangkan mereka sudah berani mencabar pihak berkuasa dan merempit di tempat yang terbuka. Ada ketikanya orang awam turut dikasari hanya kerana cuba menasihati perbuatan yang tidak berfaedah itu.
Ini belum lagi dikira jumlah penagih dadah yang kian bertambah. Kesan daripada penagihan dadah boleh menimbulkan gejala sosial lain seperti berlaku kes jenayah, penyakit HIV dan kemerosotan nilai diri sebagai seorang insan.
Penagihan bukan sahaja menjadikan diri mereka tidak terurus tetapi sanggup pula mencederakan orang lain malah ibu bapa sendiri sekiranya apa yang dikehendaki tidak ditunaikan terutama keinginan mendapatkan wang.
Jenayah lain seperti pecah rumah, curi motosikal, meragut, bergaduh dan gengsterisme kerap dilaporkan dalam akhbar. Perbuatan ini bukan sahaja berlaku di bandar besar tetapi turut berlaku di kampung dan kawasan pedalaman. Tidak dinafikan gejala itu mungkin mula bertunas ketika mereka berada di bangku sekolah.
Sering kita mendengar isu ponteng, membuli, mencuri, vandalisme dan bergaduh berlaku di kalangan pelajar. Sekiranya tidak dicegah daripada awal ia boleh memudaratkan apabila mereka terus melakukannya selepas meninggalkan bangku sekolah nanti.
Bagi mencegah dan mendidik pelajar yang melanggar disiplin ada yang mencadangkan dikembalikan semula hukuman rotan atau corporal punishment. Tambah mereka semua guru seharusnya dibenarkan merotan pelajar. Bagi mereka hukuman itu tidak akan menimbulkan tentangan jika dilakukan dengan betul. Buat masa ini hanya pengetua atau guru yang diberikan kuasa boleh merotan pelajar dengan syarat dilakukan di tempat tertutup, direkodkan dan ibu bapa dimaklumkan akan hukuman itu.
Namun demikian ada yang mempertikaikan pendapat tersebut mempersoalkan mengapa peraturan lapuk itu ingin dihidupkan semula. Menurut mereka keadaan dan zaman telah banyak berubah. Hukuman rotan boleh menimbulkan banyak mudarat dibandingkan dengan kebaikan.
Dari sudut psikologi emosi pelajar yang dirotan boleh terganggu, malu kepada rakan dan merasa rendah diri terutama apabila bersua dengan guru yang merotan mereka. Lebih bahaya boleh menimbulkan perasaan dendam terhadap guru dan sekolah.
Kerap kita mendengar kereta guru dirosakkan, perbuatan vandalisme dan perasaan benci kepada sekolah. Walaupun tujuannya murni iaitu untuk mendisiplinkan pelajar tetapi boleh memberi kesan sebaliknya. Lebih parah mungkin boleh berlaku kejadian mencederakan guru dan merosakkan harta benda sekolah.
Sesungguhnya untuk menangani salah laku pelajar Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan garis panduan melalui Peraturan- Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh merotan pelajar lelaki sahaja dihadkan di tapak tangan atau di punggung dengan arahan Guru Besar tanpa mendatangkan kecederaan.
Hukuman rotan semata-mata bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat tertutup. Dijelaskan juga kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali.
Berbeza di negara maju di mana terdapat peraturan yang dinamakan student rights atau 'hak asasi pelajar' di mana mereka diberi perlindungan ketika berada di sekolah termasuk tidak boleh dikenakan sebarang deraan fizikal.
Ini bermakna pelajar tidak boleh dirotan dan menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan oleh guru atau pentadbir sekolah. Mereka ada kaedah tertentu bagi menangani pelajar yang bermasalah seperti melalui sesi kaunseling atau merujuk terus kepada ibu bapa pelajar tersebut.
Sesungguhnya dalam sistem pendidikan kita kaedah merujuk pelajar kepada kaunselor telah lama dipraktikkan. Setiap sekolah mempunyai kaunselor yang terlatih. Melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 1/1985 Penubuhan Jawatan Kuasa Bimbingan Pelajar Sekolah bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang bermasalah termasuk melanggar disiplin mendapat perkhidmatan kaunseling. Melalui perbincangan dan bimbingan secara profesional dijangkakan pelajar itu akan sedar kesalahan yang dilakukan dan tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut.
Hakikatnya guru perlu berhati-hati ketika merotan pelajar kerana jika mendatangkan kecederaan serius mereka boleh didakwa di mahkamah sekiranya ibu bapa membuat aduan polis.
Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Walaupun niat merotan itu murni iaitu untuk mendidik pelajar tetapi boleh mendatangkan mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika dilakukan secara berlebihan.
Justeru semua guru adalah guru disiplin. Ini bermakna semua guru bertanggungjawab dan berperanan membimbing, menasihati dan menunjuk ajar pelajar. Ibu bapa dan komuniti pula perlu terlibat dalam menangani permasalahan tersebut.
Keprihatinan semua pihak terhadap salah laku pelajar hari ini akan berupaya mengurangkan jumlah gejala sosial di kalangan remaja di masa akan datang.

Utusan Malaysia Online: 25 Julai 2012

Jumat, 13 Juli 2012

Kesalahan paling berat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelajar yang didapati bersalah memukul guru berikutan kesalahan itu paling berat berbanding masalah disiplin lain.
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kementerian sentiasa memandang serius kes begitu dan mahu pengurusan sekolah serta Jabatan Pelajaran Negeri membuat laporan menyeluruh sebelum tindakan tegas dapat diambil.

�Jika pelajar memukul guru memang kami kelaskan ia kes berat dan takkan berkompromi, namun dalam kes ini saya belum lagi menerima laporan lengkap. Tetapi mengikut amalan, jika ia sudah dilaporkan kepada polis, maka kami perlu menunggu sehingga siasatan selesai.
�Sebaik selesai, barulah keputusan dibuat, namun yang pasti jika terbukti mana-mana pihak bersalah maka tindakan tegas menunggu mereka. �Apapun, saya merasa dukacita dengan kejadian begini kerana ia tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini yang mana kami dapati disiplin pelajar dalam keadaan terkawal,� katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang guru lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Segamat Batu Anam, Segamat, Johor cedera di kepala dan menerima satu jahitan kerana cuba meleraikan pergaduhan dua kumpulan pelajarnya, Selasa lalu.

Difahamkan dalam kejadian jam 11 pagi itu, kebanyakan guru dan pelajar sedang menyertai kejohanan sukan di padang sekolah, sebelum guru Sains berusia 27 tahun itu melihat dua kumpulan membabitkan 10 pelajar bergaduh di tepi padang.

Berikutan itu, dia dikatakan bertindak menjadi orang tengah dan cuba meleraikan perbalahan berkenaan sebelum tiba-tiba seorang pelajarnya meluru sambil cuba memukul pelajar lain dengan penyapu, namun malangnya terkena kepala guru berkenaan.

Dr Mohd Puad berkata, tahap masalah disiplin pelajar di semua sekolah semakin menurun sekali gus menyaksikan satu perkembangan baik.
Katanya, pengenalan pendekatan baru antara dua pihak bersandar konsep guru penyayang yang menyambut kedatangan pelajar di pintu pagar sekolah juga diyakini boleh mewujudkan suasana kekeluargaan dan harmoni di sekolah.

�Konsep ini penting selain bentuk hukuman kepada kesalahan dilakukan. Dan ini yang kami cuba wujudkan supaya murid dan pelajar tak merasa takut dengan guru bahkan mereka berasa seperti keluarga dan suasana cukup harmoni di sekolah,� katanya.

Jelasnya lagi, kes buli, gengsterism, merokok dan berambut panjang di sekolah juga tidak meruncing kerana masalah disiplin paling tinggi adalah daripada kategori ponteng sekolah, malah ia juga berpunca daripada banyak faktor termasuklah ketiadaan pengangkutan di sekolah pedalaman.

myMetro: 13 Julai 2012

Rabu, 11 Juli 2012

Tiada kompromi pelajar samseng

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pelajar didapati terbabit dengan kumpulan kongsi gelap atau samseng.
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya masih belum menerima laporan lengkap berkaitan kes membabitkan tindakan tiga pelajar lelaki memecah masuk bilik guru disiplin dan menyimbah cat merah di pagar sekolah mereka di Subang Jaya, jam 10 malam, Sabtu lalu.

�Ini sudah jadi kes polis dan kami perlu menunggu laporan siasatan pihak berkuasa sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap pelajar berkenaan,� katanya.

myMetro: 11 Julai 2012

Selasa, 10 Juli 2012

Pecah gegendang telinga ditampar senior

ALOR SETAR 9 Julai - Hanya kerana tidak menegangkan cadar katil senior, seorang pelajar tingkatan satu berkemungkinan mengalami masa depan yang gelap kerana tidak boleh mendengar dengan sempurna setelah ditampar hingga pecah gegendang telinganya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi pada Khamis lalu itu, mangsa yang belajar di sebuah sekolah di Jalan Langgar di sini, dibuli dan dipukul oleh dua pelajar senior tersebut dalam asrama sekolah.
Nor Hapizah Putih, 39, mendakwa, insiden menimpa Mohd. Hazim Mohd. Zaid, 13, yang tinggal di asrama sekolah itu, disedari setelah anaknya mengadu sakit telinga Khamis lalu.
Katanya, Mohd. Hazim bagaimanapun tidak memaklumkan kisah sebenar dibuli oleh pelajar senior sekolah itu.
"Ketika dia (Mohd. Hazim) pulang ke rumah Sabtu lalu, dia masih mengadu sakit telinga lalu saya terus bawa dia ke klinik. Hasil pemeriksaan, doktor beritahu gegendang telinga dia pecah mungkin disebabkan anak saya dipukul atau ditampar dengan kuat.
"Ketika itu anak saya masih enggan beritahu dia dibuli, namun selepas dipujuk, baru dia ceritakan perkara sebenar kepada kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Teduh, Gunung Keriang di sini, semalam.
Menurutnya, dia dan suaminya telah berjumpa dengan pihak sekolah dan melaporkan perkara tersebut kepada polis.
"Saya lahirkan Mohd. Hazim dengan sempurna tanpa ada sebarang kecacatan tetapi disebabkan dia dibuli, gendang telinga dia pecah dan mungkin pada masa depan dia tidak dapat mendengar dengan baik.
"Saya berharap pihak sekolah akan mengambil tindakan segera kepada pelajar yang membuli anak saya kerana tidak mahu pelajar lain mengalami nasib sama seperti anak saya," katanya.
Mohd Hazim ketika menceritakan insiden itu memberitahu, kesemua pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga telah dipanggil oleh pelajar senior Tingkatan Lima untuk berkumpul di bilik asrama.
"Mereka suruh kami semua ketuk ketampi 250 kali dan suruh siapa yang ada buat salah di dalam asrama tampil ke depan.
"Saya yang tidak tegangkan cadar keluar ke depan dan dua pelajar senior tampar pipi kanan dan kiri dengan kuat sehingga saya berasa sakit di dalam telinga," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat ketika dihubungi berkata, dia belum menerima laporan mengenai kejadian buli di sekolah tersebut.
"Saya belum dimaklumkan mengenai kes buli ini namun saya akan menyiasat perkara ini dengan segera," katanya yang berada di Putrajaya ketika dihubungi.

Utusan Malaysia Online: 10 Julai 2012

Kurang ajar

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my


ROSAK...bilik guru disiplin disimbah cat merah.
ROSAK...bilik guru disiplin disimbah cat merah.
CONTENG...pelajar terbabit turut menconteng dinding kawasan sekolah.
CONTENG...pelajar terbabit turut menconteng dinding kawasan sekolah.
KUALA LUMPUR: Samseng junior. Itulah gelaran buat tiga pelajar lelaki apabila bukan saja memecah masuk bilik guru disiplin sebaliknya turut menyimbah cat merah di pagar sekolah mereka dalam kejadian di Subang Jaya, dekat sini.
Lebih berani apabila seorang pelajar berusia 17 tahun bersama dua lagi rakannya berusia 15 tahun itu turut menconteng bangunan sekolah berkenaan dengan pelbagai perkataan berbaur ugutan, selain nombor atau simbol dipercayai berkaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Dalam kejadian jam 10 malam Sabtu lalu, semua pelajar itu dikatakan mahu menunjukkan tanda protes kepada guru disiplin selain bertujuan menakutkan pelajar lain.
Bagaimanapun, keberanian mereka itu mengundang padah apabila mereka yang diburu sejak dua hari lalu dicekup polis kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Sumber polis berkata, laporan kejadian itu dibuat pengawal keselamatan sekolah berkenaan di Balai Polis USJ 8, di sini, selepas mendapati tiga pelajar terbabit menceroboh bilik guru, menyimbah cat merah dan menconteng bangunan.

Beliau berkata, ketika kejadian, pengawal keselamatan terbabit sedang melakukan rondaan rutin.

�Pengawal keselamatan itu terkejut apabila mendapati bilik guru disiplin di sekolah berkenaan berselerak akibat diselongkar,� katanya.

Sumber berkata, dia kemudian meneruskan pemeriksaan di kawasan sekolah sebelum menemui kesan conteng yang mempunyai pelbagai perkataan berbaur ugutan, simbol dan nombor dipercayai menjurus kepada kumpulan kongsi gelap.
�Ketika meneruskan pemeriksaan, pengawal itu terserempak dengan kumpulan pelajar terbabit sebelum cuba menahan mereka, namun gagal,� katanya.

�Walaupun berlaku pergelutan, namun pelajar berkenaan sempat melarikan diri,� katanya.

Katanya, ketika melalui pagar belakang sekolah, kumpulan pelajar terbabit sekali lagi menyimbah cat merah di kawasan berkenaan sebelum melarikan diri.

�Pengawal keselamatan itu kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran,� katanya.

Sumber berkata, sepasukan anggota polis melancarkan usaha memburu kumpulan pelajar terbabit sebelum ditahan semalam di kawasan berhampiran sekolah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahya Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga pelajar terbabit.

�Semua mereka ditahan di kawasan berhampiran sekolah berkenaan (hari ini) semalam,� katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah merakam percakapan tiga pelajar itu dan siasatan awal mendapati kumpulan itu mahu menunjukkan tanda protes mereka kepada pihak sekolah selain menakutkan pelajar lain.

�Mereka disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) dan 427 KK,� katanya yang turut mengakui pihaknya sedang menyiasat kemungkinan tiga pelajar terbabit dipergunakan mahupun menganggotai kumpulan kongsi gelap.

Katanya, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan yang ditemui di pejabat sekolah itu enggan mengulas lanjut kejadian berkenaan kerana bimbang menganggu siasatan.

myMetro: 10 Julai 2012

Senin, 18 Juni 2012

Tiada kaitan kongsi gelap

KUALA LUMPUR: Setakat ini hanya 20 suspek terdiri daripada kumpulan remaja dan pelajar sekolah menengah yang ditahan polis berhubung kes pergaduhan di luar kawasan sebuah sekolah di Cheras Perdana, dekat sini hingga mengakibatkan 16 cedera termasuk seorang guru penolong kanan sekolah berkenaan, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, berhubung kecederaan seorang guru penolong kanan sekolah itu ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan, guru terbabit tercedera bukan kerana dijadikan sasaran kumpulan yang bergaduh, tetapi terkena objek yang dibaling seorang daripada kumpulan itu.

Menurutnya, siasatan polis mendapati guru berkenaan bukan sengaja dibaling atau dicederakan, tetapi terkena objek balingan seorang daripada remaja yang bergaduh ketika mangsa cuba meleraikan pergaduhan dan sehubungan itu tiada suspek tertentu yang dicari kerana mencederakan mangsa.
�Kami menahan 20 suspek berusia antara 15 dan 21 tahun di sekitar daerah berkenaan yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan itu dalam beberapa serbuan susulan pada hari kejadian.

�Seramai 14 suspek yang ditahan adalah pelajar sekolah berkenaan, manakala enam lagi remaja tidak bersekolah,� katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Difahamkan polis menahan semua suspek berdasarkan keterangan daripada saksi kejadian dan pihak sekolah serta penemuan dua motosikal milik kumpulan remaja terbabit yang ditinggalkan selepas kejadian kerana rosak teruk, selain rakaman video melalui telefon bimbit seorang pekerja sekolah yang berada di lokasi ketika insiden pergaduhan itu berlaku.

Polis turut menegaskan pergaduhan itu tiada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap atau aktiviti gangsterisme, tetapi berpunca daripada salah faham antara dua pelajar hingga membawa pergaduhan.

Harian Metro kelmarin, melaporkan sekumpulan lebih 40 remaja bersenjatakan kayu, batang besi, cota dan topi keledar bertindak samseng ketika menyerang 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini, yang keluar melalui pintu pagar selepas selesai waktu persekolahan, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lebih 10 pelajar cedera manakala seorang guru kanan sekolah itu luka teruk di kepala akibat dibaling dengan topi keledar ketika cuba meleraikan pergaduhan terbabit selain dua motosikal rosak teruk.

myMetro: 18 Jun 2012